Friday, May 17, 2013

Kenali Batuk Anda

Batuk ialah sejenis mekanisme pertahanan fisiologi yang merupakan cara semula jadi tubuh untuk melindungi sistem pernafasan dengan mengeluarkan bahan rengsa atau rembesan daripada saluran udara.

Batuk terbahagi kepada dua iaitu 


  • BATUK KERING 
Batuk yang tidak berkahak dirasakan kering, gatal dan perit yang berlaku di bahagian tekak. Batuk jenis ini selalunya disebabkan oleh jangkitan virus. Ia selalunya akan pulih tanpa pengambilan ubat dalam masa seminggu. Pengambilan antibiotik tidak boleh membantu pesakit batuk jenis ini.

Pengambilan ubat perlu untuk mengawal rasa pedih yang dirasai. Antara jenama yang popular ialah Cofcare. Jenama yang lebih kuat pula boleh didapati di farmasi atau klinik. Pastikan anda dapatkan penerangan yang lengkap sebelum mengambilnya. Ubat batuk jenis yang tidak bekahak yang lebih kuat ini (ubat ini dikenali sebagai anti-tussive) adalah seperti codeine, pholcodine, dextromethorphan dan clobutinol.

Dextromethorphan boleh didapati dalam bentuk sirap, pil dan juga gula-gula untuk dikemam. Ia adalah antara jenis yang popular dan jenama yang ada termasuklah Actifed DM, Sedilix DM, Cofdex (pil), Tussil (gula-gula) dsb. Jenama Duro-tuss pula mengandungi pholcodine dan ia sesuai untuk pesakit kencing manis kerana ia tidak mengandungi gula. Pholcodine tidaklah menyebabkan ketagihan seperti codeine. Jenama yang mengandungi codeine hendaklah dijauhi sekiranya boleh kerana ada alternatif lain seperti yang dinyatakan di atas. Codeine boleh menyebabkan ketagihan. (Tambahan: Mulai tahun 2003, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengarahkan pembuatan ubat batuk yang mengandungi kodein (codeine) diberhentikan.)

Kesemua ubat di atas mungkin menyebabkan pengambilnya mengantuk dan khayal (codeine). Ubat yang mengandungi clobutinol seperti Silomat tidak menyebabkan rasa mengantuk.

Sekiranya anda merasa sakit tekak yang teruk, ubat seperti Dequadin, Strepsil dsb. boleh membantu. Untuk yang lebih kuat lagi, dapatkan dari farmasi atau klinik, seperti Difflam dan Strepsil Dual Action.
  • BERKAHAK
Batuk yang berkahak selalunya bermula di bahagian dada. Warna kahak perlu dikenalpasti untuk mengetahui jenis batuk / penyakit yang dialami.

* Kahak yang putih atau jernih menunjukkan tidak ada penyakit-penyakit lain yang merbahaya.

* Kahak yang berwarna putih tetapi berbuih mungkin disebabkan oleh penyedutan asap rokok yang kronik (jangkamasa lama). Ia juga berlaku pada mereka yang menghidapi penyakit bronkitis.

* Kahak yang berwarna hijau atau coklat menunjukkan adanya jangkitan dalam paru-paru. Contoh batuk jenis ini ialah sakit bronkitis dan pneumonia (sukar bernafas, demam). Selalunya ia disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria.

* Kahak berdarah atau berwarna gelap seperti karat menunjukkan sesuatu yang lebih serius lagi. Ia mungkin disebabkan oleh kanser, batuk kering (TB), dsb. Segera dapatkan rawatan lanjut.

Untuk melegakan batuk berkahak, anda boleh mengambil ubat dari jenis expectorant (memecahkan kahak) seperti:

* guaifenesin (Breacol)
* carbocisteine (Rhinothiol)
* ambroxol (Mucosolvan)
* cyclidrol (Mucoflux)
* herba seperti Ibu dan Anak, Cofcare, dsb.

Ubat yang lebih kuat boleh didapati dari farmasi atau klinik. Selalunya ubat ini mengandungi anti-histamine iaitu sejenis ubat allergik yang boleh membantu mengeringkan kahak. Bagaimanapun ubat dari jenis ini boleh menyebabkan anda mengantuk, oleh itu tidak sesuai untuk yang berkerja. Antara jenama yang selalu diberi ialah Benadryl (original) dan pelbagai jenama generik seperti Bena, Bencodyl dsb. Sila lihat generik.htm. Jenama lain yang juga popular ialah Actifed Expectorant dan Rhinathiol Promethazine.

Sekiranya ada jangkitan kuman bakteria, anda perlu mengambil antibiotik. Sila buat pemeriksaan lanjut dengan doktor anda.
Masalah batuk kerap yang dialami kurang daripada dua minggu boleh diklasifikasikan sebagai batuk akut, yang biasanya berpunca daripada jangkitan pernafasan virus seperti selesema biasa dan flu.
Batuk yang berlarutan lebih daripada dua minggu dianggap batuk kronik. Walaupun batuk kronik biasanya tidak mengancam nyawa, punca asasnya perlu disiasat jika batuk berpanjangan.

Perkara-perkara lain

Selain daripada pengambilan ubat, anda boleh juga lakukan langkah-langkah berikut ini:

* minum air suam atau panas dengan banyak. Ia membantu memecahkan dan membuang kahak.

* pengambilan bahan-bahan yang menambah lendir seperti bahan tenusu, daging, makanan segera, gula dan makanan manis, tepung putih dsb hendaklah dikurangkan.

* sekiranya anda merokok, mungkin inilah masa yang sesuai untuk terus berhenti merokok.

* persekitaran yang berhabuk, berasap toksik dan sebagainya boleh menyebabkan batuk. Oleh itu cuba jauhkan diri anda dari kawasan ini.

* sedut stim contohnya dari air yang mendidih. Ia membantu menghilangkan hidung yang tersumbat.

* hembus dengan kuat untuk membuang kahak dan hingus.

Selain itu, perkara-perkara ini haruslah diperhatikan:

* ada sesetengah ubat batuk yang didapati di farmasi dan klinik mengandungi pseudoephedrine, yang boleh menambah tekanan darah. Orang yang ada tekanan darah tinggi tidak digalakkan mengambil ubat jenis ini. Dapatkan penerangan lanjut dari farmasi atau klinik.

* kebanyakan persediaan adalah dalam bentuk sirap dan ia mengandungi gula. Pesakit kencing manis harus mengelakkan pengambilannya sekiranya boleh.

* sekiranya batuk anda tidak baik dalam masa seminggu, atau ada tanda-tanda yang lebih serius seperti batuk berdarah, rawatan lanjut diperlukan.

* batuk yang berlaku pada waktu malam sahaja (semasa baring sahaja) mungkin disebabkan oleh penyakit lain. Dapatkan rawatan selanjutnya.

Sumber: Farmasi Anis


Sumber : Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm#ixzz2TWtKRbqz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment